11 January 2016

Bab 1 : Kalaulah Engkau Mengerti

NOVEL: SONGKET BEBENANG EMAS

Sinopsis
 Bab 1 : Kalaulah Engkau Mengerti

            Cerita bermula dengan Dahlia yang berlatih bola jaring bersama rakan-rakannya di padang keletihan dan duduk di kerusi panjang untuk berehat. Rakannya Siti Wangi duduk di sebelahnya. Dahlia memberitahu Siti Wangi tentang keinginannya untuk balik ke kampung, Siti Wangi mengatakan bahawa pasti disebabkan ada orang menunggu Dahlia di kampung, pertanyaan tersebut menyebabkan Dahlia teringat akan keadaan ibunya yang bercakap sendirian di bawah pokok getah dan merayau tidak tentu arah apabila senja menjelang.
            Kemudian, mereka berbincang tentang kertas kerja yang disuruh oleh Cikgu Hisyam tentang remaja yang meninggalkan bangku sekolah untuk bekerja. Perbualan mereka terputus apabila Kavita muncul dan memberitahu bahawa ada seorang lelaki berkumis (bermisai)nipis, tinggi dan kacak ingin berjumpa dengan Dahlia di kantin.
            Di kantin, Dahlia berjumpa dengan Azhari (lelaki yang sudah lama tidak bertemu). Mereka berbual tentang pelajaran. Dahlia pelajar STPM manakala Azhari akan mendapat ijazahnya pada bulan Ogos. Selepas itu, Azhari menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan ke rumah Dahlia untuk merisik, bertunang dan berkahwin dengan Dahlia. Azhari dikenali Dahlia ketika mereka sama-sama menuntut di SMK Tun Ismail (5km dari kampung Dahlia). Pada masa itu, Dahlia (T1) manakala Azhari (T5). Dahlia menyampaikan hasratnya yang masih mahu meneruskan pelajarannya kerana Dahlia merupakan anak sulung, malah dia telah mengatakan keinginannya untuk melihat adik-adiknya berjaya dalam pelajaran kepada ibu bapanya. Azhari memberitahu bahawa dia tidak menghalang Dahlia untuk meneruskan pelajarannya malah menggalakkan Dahlia menuntut pelajaran hingga peringkat yang tinggi Cuma pertunangan mereka akan dapat menjamin masa depan mereka.
            Ketika mereka berbincang, Dahlia melihat jam tangan di tangan kanannya sudah 4. 25 petang, pada kebiasaannya waktu seperti ini dia sudah menunggu bas untuk pulang. Azhari ingin menghantar Dahlia tetapi Dahlia berasa keberatan kerana bimbang akan pandangan orang kampung terhadapnya.

Bab 2: Detik-Detik Hati Tersentuh

Bab 2: Detik-Detik Hati Tersentuh

            Cerita bermula dengan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, Dahlia bertembung dengan Aton (balu beranak satu) Kata-kata Aton menyentuh hati Dahlia kerana Aton mengatakan bahawa ibu Dahlia “ tidak betul”dan Aton nampak Azhari menghantar Dahlia pulang dengan kereta lalu mengatakan bahawa tidak lama lagi Saleha(ibu Dahlia) akan mendapat menantu.
            Apabila sampai di rumah, Dahlia mendengar adiknya Anggerik sedang menangis. Melati (11 tahun) menyambut kepulangan kakaknya Dahlia di tangga. Dahlia segera membersihkan kakinya yang penuh dengan lumpur lalu menuju ke dapur. Adik bongsunya, Anggerik berguling-guling di lantai. Susu yang dibancuh tidak diminum kerana cair. Dahlia memanggil Kiambang (gadis sunti Tingkatan 1) yang masih berpakaian sekolah untuk menjaga Anggerik kerana dia perlu memasak untuk makan malam.
            Dahlia meminta Melati membeli susu, Melati meminta duit, Dahlia menyuruh Melati berhutang dengan Tauke Lim, Melati berasa malu kerana selalu berhutang. Ketika keluar melalui pintu belakang, Melati kembali memberitahu Dahlia bahawa ibu mereka berada di kebun. Dahlia segera mendapatkan ibunya, Dahlia berpesan kepada Melati untuk membeli sekilo gula pasir.
            Dahlia menyarung kasut getah menuju ke arah ibunya, Dahlia memerhatikan tingkah laku ibunya yang bercakap sendirian dan berseloka “ Emak Si Randang”. Emaknya tidak pernah belajar puisi, tetapi tiba-tiba boleh berseloka. Dahlia memanggil ibunya yang berusia 39 tahun itu tetapi Saleha (ibu Dahlia) tidak mengenali anaknya sendiri. Dahlia memeluk ibunya dengan kuat tetapi ibunya meronta-ronta lalu menolak Dahlia sehingga jatuh ke tanah yang becak. Pada ketika itu Embong (bapa Dahlia) muncu untuk mendapatkan anak gadisnya dan menanyakan sebab anaknya berada di situ. Dahlia menuding ke arah ibunya. Embong terkejut melihat keadaan isterinya yang berkelakuan ganjil sejak akhir-akhir ini. Apabila Embong menghampiri Saleha, Saleha berlari semakin jauh, meredah paku-pakis. Dahlia dan Embong cuba membawa Saleha balik tetapi tidak berjaya. 

Bab 3: Jangan Tinggalkan Kami

Bab 3: Jangan Tinggalkan Kami           

                Cerita bermula dengan ibu Dahlia bermantera manakala Dahlia sedang bersolat isyak. Keadaan ibunya mengganggu perasaan Dahlia dan menimbulkan pertanyaan sama ada ibunya dibuat orang tetapi Dahlia tidak dapat membayangkan siapa-siapa yang dengki atau sakit hati terhadap ibunya. Dahlia memohon kepada Tuhan agar menguatkan imannya untuk menghadapi dugaan dengan tabah.
            Doa Dahlia terputus apabila terdengar teriakan Nek Kiah( ibu kepada emaknya). Setelah masuk ke rumah, Nek Kiah terus ke ruang tengah rumah, Dahlia bersalam dengan Nek Kiah lalu ke dapur menyediakan minuman. Ibunya Saleha duduk di pojok rumah dengan kaki dan tangannya terikat tertawa. Nek Kiah mula membebel setelah melihat Saleha dilayan begitu. Kiambang dan Melati yang sedang menyiapkan kerja sekolah di ruang tengah mendengar segalanya dan berasa bimbang kerana tanda-tanda perang mulut akan bermula. Nek Kiah menganggap keluarga Saleha sahaja yang tidak baik dan anak-anaknya tidak pandai. Nek Kiah menuduh Embong menyeksa Saleha sejak mereka kahwin hingga beranak 6. Anaknya Saleha “tidak betul” adalah disebabkan oleh Embong dan menuduh Embong seorang yang pemalas. Embong hanya mendiamkan diri. Kalau balas sepatah akan dibalas dengan puluhan kata-kata yang menyakitkan telinga. Dahlia menuangkan kopi untuk Nek Kiah tetapi dikritik kopi yang dibuat oleh Dahlia pahit macam hendak bunuh orang.
            Pada saat itu ada orang memberi salam, Embong dengan cepat bangun lalu membuka pintu kerana tidak mahu mendengar kata-kata mak mentuanya. Rupa-rupanya Haji Sulaiman ( ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Hj Rais membawa orang dari Hospital Batu Pahat. Senja tadi, Embong meminta bantu Haji Sulaiman dan orang-orang kampung menangkap isterinya untuk dibawa pulang, tidak meminta apa-apa pertolongan lain tetapi mengapa ada orang dari hospital? Haji Sulaiman mengatakan bahawa adalah menjadi sebahagian tugasnya membantu Embong. Embong menolak kerana menganggap masalah Saleha masalah keluarganya. Nek Kiah pula menempelak kerana menganggap penyakit anaknya tidak merebak, mengapa perlu dibawa ke hospital.

            Haji Sulaiman bangkit dan duduk di sisi Embong lalu meminta Embong jangan beranggapan buruk. Dahlia tidak bersetuju ibunya di bawa ke hospital pada masa yang sama Anggerik menangis lalu Dahlia bergegas ke buaian , dirasai dahi Anggerik, panas walaupun udara di luar sejuk. Dahlia dan adik-adiknya memasang telinga terhadap perbualan bapa mereka dengan Haji Sulaiman. Haji Sulaiman menerangkan bahawa niatnya baik untuk membantu Embong. Dahlia membantah kerana penyakit ibunya bukan selalu terjadi, sesekali sahaja lagipun kalau ibunya tiada siapa yang akan menjaga Anggerik? Tetapi kata-kata itu tidak diujarkannya takut dianggap kurang ajar atau tidak mengetahui tatasusila budaya. Budaya Melayu melarang keras perbuatan membantah kata-kata orang tua. Kiambang dan Melati menjerit agar bapa mereka tidak membenarkan ibu mereka dibawa pergi. Nek Kiah memaki Embong tidak ada perasaan, lelaki tidak berguna. Embong Cuma menggeleng, menegah samalah tidak berusaha mengubati penyakit isteirnya, membiarkan boleh juga dianggap sudah hilang perasaan kasihan, perasaan kasih sayang  yang sudah terikat lebih 20 dekad. 4 orang lelaki membawa Saleha, Embong menyuruh Dahlia menjaga adik-adiknya kerana ingin ikut sama. 

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah

                Cerita bermula dengan Dahlia mengenang masa silam. Setelah menyelimutkan tuala ke tubuh Anggerik, dia cepat menyelesaikan sedikit kerja rumah, beberapa kerja sekolah yang tertangguh dan membantu Melati menyelesaikan latihan Matematik. Anggerik mula menangis, Dahlia terpaksa merebahkan tubuhnya di sisi adiknya. Apabila adiknya tidur nyenyak, bolehlah dia menyelesaikan kerja yang tertangguh.
            Esok, hari Ahad, dia terpaksa ke sekolah, siapa yang akan menjaga Anggerik? Tiba-tiba Dahlia teringat pantun yang diungkapkan Azhari ketika menghantarnya pulang Khamis lalu. Dahlia tidak mengerti pantun yang diungkapkan oleh Azhari. Apa yang dinyatakan oleh Azhari bukan gurauan. Dahlia meminta Azhari memberikannya sedikit masa untuk membaiki diri sendiri dan keluarganya dulu. Lia meminta Azhari menurunkannya di tepi jalan, biarpun dia terpaksa berjalan lagi 3 kilometer setengah agar tidak menimbulkan pelbagai cerita. Azhari pula memutarkan stereng ke kanan lalu memasuki Kampung Parit Haji Rais, Lia menjerit meminta kereta diberhentikan.
            Dahlia terdengar namanya dilaung, matanya dibuka, rupa-rupanya dia bermimpi, yang memanggilnya ialah abahnya Embong. Embong menyuruh Lia balik ke sekolah, hal Anggerik akan diuruskannya. Embong tidak menjawab apabila Lia menanyakan bagaimana abahnya hendak bekerja jika menjaga Anggerik? Lia memberitahu bahawa dia akan meminta izin untuk keluar asrama sekejap untuk melihat ibunya di hospital.
            Embong duduk di tangan sambil merokok, sambil memikirkan nasibnya. 30 meter di depan rumah mentuanya (hidup bersendirian). Saleha ingin tahu apa yang difikirkan oleh suaminya. Embong mengeluh kerana emak Saleha masih tidak suka akan mereka. Saleha menyuruh Embong bersabar kerana mereka hidup susah, tidak seperti anaknya yang lain berkereta besar, selalu membawa Nek Kiah makan angin, memberikannya wang. Saleha berharap anak mereka akan berjaya mungkin sifat ibunya akan berubah. Embong memang berkecil hati terhadap ibu Saleha tetapi disebabkan Nek Kiah orang tua, dia tidak kisah cuma berasa kasihan terhadap anak-anaknya yang tidak dianggap sebagai cucu oleh Nek Kiah. Embong dan Saleha berharap Dahlia dapat masuk universiti, Bakar lebih suka bermain daripada belajar, Mawar ada harapan. Saleha memberitahu Embong bahawa dia terasa ada bayang-bayang mengejarnya, telinganya mendengar suara yagn pelik-pelik, bukan suara orang. Embong menerangkan bahawa mungkin perasaan sahaja atau disebabkan Saleha letih menorah. Saleha mengatakan bahawa pokok getah dihadapnya sejak kecil hingga sekarang, dia tidak berasa letih menorah.
            Dahlia tiba-tiba ada di belakang Embong dan menanyakan Embong tentang keadaan ibunya. Embong memberitahu bahawa doktor tidak tahu apa penyakit ibunya cuma mengatakan fikiran Saleha runsing. Dahlia ingin tahu sama ada doktor ada menyatakan bahawa ibu mereka dibuat orang. Embong menyuruh Dahlia jangan berfikir benda yang tidak baik lagipun doktor tidak percaya perkara seperti itu. Embong tidak menceritakan keadaan sebenar isterinya yang menjerit, meraung dan menunduk di bilik kurungan agar Dahlia tidak bertambah risau dan dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
            Dahlia ingin tahu sama ada bapanya akan memetik kelapa sawit , Embong memberitahu bahawa Haji Sulaiman ada meminta Embong memetik kelapa sawit di kebunnya di kampung sebelah, tetapi agak sukar memandangkan dia perlu menjaga Anggerik. Dahlia mencadangkan Anggerik dihantar ke rumah Nek Kiah tetapi Embong menggeleng, cadangan itu juga disuarakan oleh Haji Sulaiman dan Tauke Lim . Embong tahu apa reaksi mak mentuannya tambahan pula Embong tidak mahu anak-anaknya semakin membenci nenek mereka. Embong mengatakan bahawa jika Nek Kiah tahu akan masalah mereka, tidak perlu cakap tentu Nek Kiah akan datang. Oleh itu, Embong memberitahu bahawa dia akan uruskan segalanya.
            Ketika itu juga terlihat susuk badan manusia yang semakin mendekati rumah, Embong segera membetulkan kain sarungnya yang terlondeh dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan. Rupa-rupanya adik Dahlia, Bakar. Bakar segera mencedok air di tempayan untuk mencuci kaki. Embong menegur Bakar sudah 3 hari tidak balik ke rumah, Bakar selamba sahaja sehingga Embong menempelak, Abu Bakar terkejut, Dahlia menyepi, tidak mahu menyampuk. Embong memarahi Bakar yang sudah melampau, mendapat pangkat 3 dalam SPM, tidak berhajat untuk mengulang SPM tetapi rela menjadi gelandangan. Sebelum Embong sampai ke bawah, Abu Bakar sudah bergegas membawa diri, berlari ke arah yang becak.

Bab 5: Kata Setajam Pedang

Bab 5: Kata Setajam Pedang

            Cerita bermula dengan Dahlia menaiki bas JMBC yang sesak. Kekecohan berlakud dalam bas kerana konduktor bas yang meminta penumpang masuk ke dalam kerana ada penumpang yang naik, terdapat penumpang yang tidak berpuas hati kerana dianggap sebagai sardine. Dahlia tidak mempedulikan keadaan ini kerana jam di tangan tinggal 10 minit waktu persekolahan akan bermula, destinasinya 17 km lagi. Kelewatan sampai ke asrama ialah satu kesalahan. Kelewatannya disebabkan Anggerik yang menangis, bapanya mendukung Anggerik tetapi tangisannya makin menjadi-jadi. Dahlia tidak sampai hati meninggalkan adiknya tetapi bapanya meminta Dahlia ke sekolah dan jangan hampakan harapan bapanya. Lamunan Dahlia terhenti apabila suara seorang lelaki memintanya berundur ke belakang, Dahlia memandang ke luar bas, kelihatan kilang Sharp, menandakan perjalanan masih jauh. Dahlia teringat kata-kata Siti Wangi supaya mencari isi untuk tujuan perbincangan. Dahlia tidak berbuat apa-apa. Ketika itu, dia teringat juga kata-kata Azhari yang sudi menghulurkan bantuan jika Lia menghadapi masalah, tetapi Lia tidak mahu menjaja keburukan ibunya kepada orang lain.
            Bas memasuki kawasan Bandar Penggaram, hospital hanya beberapa meter di hadapan, di Wad 6, Dahlia tertanya-tanya khabar ibunya. 2 minggu lalu, sewaktu Dahlia pulang, ibunya seperti biasa. Cuma sebulan lalu, emaknya suka termenung, kadang-kadang menangis tanpa sebab. Bas berhenti di bahu jalan apabila Lia memicit loceng. 5 minit lagi, jam 8, dia sudah terlalu lewat. Langkahnya pantas menuju SMK Temenggung Ibrahim, pagar sudah terkunci, terlihat warden asramanya Cikgu Salwani sedang menuju ke bilik guru. Lia memanggil Cikgu Salwani, apabila ditanya sebab lewat, Lia hanya beritahu cikgu bahawa dia ada masalah keluarga lalu diminta oleh Cikgu Salwani berjumpa dengannya petang nanti. Sepanjang hari, Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran, hanya memikirkan ibunya, Anggerik dan bapanya.
            Cikgu Hisyam yang mengajarkan Pengajian Am selalu disambut dengan perdebatan tetapi tidak kali ini, mata Lia memandang ke depan tetapi perasaannya jauh menjalar di kampung halamannya. Lia menunduk, sikunya dikuis oleh Kavita kerana Cikgu Hisyam sedang memerhatikan Lia dan Kavita juga memberitahu bahawa Najib mengajak mereka berbincang di Perpustakaan Awam. Hingga waktu persekolahan berakhir, Lia melangkah lambat balik ke asrama. Langkahnya terhenti apabila dipanggil oleh Siti Wangi. Siti Wangi mengingatkan Dahlia janji mereka untuk berbincang pada petang itu tentang kertas kerja yang akan dibentang pada hari Khamis malah Siti Wangi sudah memberitahu rakan-rakan lain untuk berjumpa pada 2pm. Lia meminta maaf kerana tidak membuat persediaan kerna ingin melawat ibunya yang sakit di hospital malah meminta Siti Wang memberitahu Cikgu Salwani. Apabila ditanya penyakit yang dihidapi oleh ibunya, Lia hanya kata sakit biasa. Lia tidak ke dewan makan, banyak terteleku di katil memikirkan apa yang difikirkan oleh Siti Wangi tentang dirinya, lalu memikirkan ibunya dan adiknya Melati yang memintanya pulang. Tanpa berfikir panjang, dia memasukkan sedikit nota ke dalam beg plastic dan bergegas turun.
            Walaupun hospital berada kurang 1km tetapi Lia tidak bermaya untuk berjalan di bawah matahari yang terik. Apabila bas melalui Jalan Kluang, Lia segera turun apabila tiba di destinasinya. Lia masuk ke perkarangan hospital mencari Wad 6. Tiba-tibanya namanya dipanggil, Lia menoleh, rupa-rupanya Haji Sulaiman. Lia terus berjalan mendapatkan Haji Sulaiman di pondok telefon tetapi diajak pulang dengan menaiki kereta Haji Sulaiman. Haji Sulaiman memberitahu bahawa ibu Dahlia telah dibawa ke hospital di Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik. Apabila ditanya sama ada Hospital Sultanah Aminah, Haji Sulaiman menjawab bukan, tetapi Hospital Permai. Lia hampir rebah apabila mendengar kata-kata itu.

Bab 6: Ditelan Arus Deras

Bab 6: Ditelan Arus Deras
           
            Cerita bermula dengan Dahlia melihat kanak-kanak mandi sungai di depan rumah Dahlia dalam jarak 45m. dahlia mengingati masa silam, di tebing inilah dia sering bermain laying-layang tanpa memikirkan erti kemiskinan.
            Dahlia mengutip ranting yagn bertaburan di halaman dan diletakkan di belakang rumah sambil membandingkan kebahagiaan kanak-kanak di sana dengan dirinya. Dahlia terduduk memikirkan nasib diri. Dahlia bertanya kepada bapanya sama ada tahu bahawa ibu sudah dihantar ke Hospital Permai apabila tiba di rumah kira-kira 2 jam tadi. Embong melopong sambil memandang Haji Sulaiman. Haji Sulaiman menerangkan bahawa ketika dia ke bandar, dia singgah di hospital, doktor meminta izin untuk menghantar Saleha ke Johor Bahru. Haji Sulaiman memberikan keizinan walaupun dia tahu dia tidak berhak untuk berbuat begitu tetapi memikirkan keadaan Saleha, Haji Sulaiman mengizinkannya. Embong terkilan tetapi kemarahannya mereda kerana urusan isterinya sudah diserahkan kepada Haji Sulaiman. Embong mempersoalkan nasib diri dan anak-anaknya yang tidak pernah senang, apakah kesalahannya? Mengapa isteri menjadi begitu, dia tidak pernah dengki, tidak pernah aniaya orang. Haji Sulaiman meminta Embong bersabar kerana Tuhan menguji manusia dengan pelbagai cara.
            Dahlia terdengar ibunya menyuruh dia memasak nasi, apabila dia pandang ke dapur, tiada sesiapa, begitu juga ibunya meminta dia memotong kayu, cabut pokok ubi, tiada sesiapa, Cuma suara-suara silam. Melati menjerit dari tingkap tengah menanya Lia sama ada Anggerik sudah tidur, Lia mengangguk. Dia sedar tidak menguntungkan sesiapa jika dia hanya melayan perasaan lalu cepat melangkah masuk rumah, banyak kerja sekolah belum disiapkan.
            Nama Lia dipanggil, dia menoleh ke arah kiri, Nek Kiah menuju ke arahnya dan bertanyakan bapa Dahlia. Dahlia memberitahu bahawa bapanya ke kebun Haji Sulaiman. Nek Kiah memijak tangga untuk ke perut rumah, Lia mengekori dari belakang. Nek Kiah memberitahu bahawa ketika dia di balai raya, semua orang bercerita tentang emak Dahlia yang dimasukkan ke rumah orang gila. Nek Kiah berasa geram dan malu. Nek Kiah berpendapat ibu Dahlia gila kerana rumah Dahlia penuh dengan syaitan. Nek Kiah segera mengeluarkan kapur lalu menggores pintu dengan tanda campur supaya hantu tidak masuk ke rumah. Melihat perlakuan neneknya, Lia mengucap kalimah syahadah beberapa kali kerana padanya segalanya ketentuan Tuhan bukan disebabkan hantu atau syaitan. Melati bertanya kepada Dahlia sama ada apa yang dikatakan oleh Nek Kiah itu benar, Dahlia menafikannya. Ketika itu, Anggerik menangis dengan kuat. Dahlia mendukung Anggerik, dirasai dahi, lengan, kakinya panas, hendak dibawa ke klinik di Pekan Parit Raja, rawatan hanya ada pada waktu pagi, klinik yang ada hanya klinik swasta dengan bayaran yang tidak sedikit. Sebelum pulang, Nek Kiah berpesan tidak memadamkan kapur yang dilukiskannya, kalau tidak senjaga hendak panggil hantu .
            Tiba-tiba terdengar jeritan di tebing bahawa Said hilang dalam sungai. Dahlia bergegas ke tebing, 3 orang kanak-kanak berusia 10-12 tahun menuding ke perut sungai, tadi tidak ada kanak-kanak mandi di situ, Dahlia tidak tahu masa kanak-kanak ini mandi si sungai. Setelah memastikan Said anak Mak Aton yang hilang, Dahlia menyerahkan Anggerik kepada Melati dan menanyakan tempat Said tenggelam. Tanpa berlengah, Dahlia segera terjun ke dalam sungai walaupun sudah lama dia tidak berenang, arus sungai deras, Dahlia meraba-raba untuk mencari Said, air pekat dengan sampah sarap menyebabkan pandangan di dalam sungai begitu gelap. Dahlia muncul untuk menarik nafas kemudian menyelam lagi. Dahlia muncul lagi, Melati menanyakan Said, Dahlia menggeleng, kemudian menyelam lagi. Terdapat sekumpulan kanak-kanak tiba di tempat itu, mereka terjun untuk sama-sama mencari Said. Dahlia yang keletihan menuju ke tepi. Dahlia memegang kayu tangga tempat keluarganya mandi jika air paip tiada. Keletihannya tidak terbendung, jika boleh dia mahu mencari Said tetapi kekuatannya sudah mencair. Kakinya masih memijak dasar sungai yang berselut, dia mahu naik tetapi kurang berdaya. Ada sesuatu di bawah, keras tetapi agak berlainan. Dahlia menyelam dan memegang benda itu lalu diangkat, rupa-rupanya Said. Orang di tebing menjerit nama Said lalu meluru ke arahnya, seorang anak muda yang lalu di situ segera turun dari motosikal lalu menuju ke arah Dahlia. Pemua itu mengangkat Said dan dibawa ke tebing. Said dikeliling ramai. Anak muda yang bukan penduduk kampung itu segera memeriksa dada Said, tiada dengupan jantung lalu kaki Said diangkat agar air yang penuh di perut Said keluar. Segalanya tidak berhasil, orang semakin ramai. Nek Kiah menuju ke arah itu dan mencadangkan Said di bawa keliling rumah 7 kali, Said dikatakan akan sedar. Tanpa berlengah, anak muda itu segera mengangkat Said di belakangnya dengan kaki Said ke atas mengeliling rumah. Dahlia masih di perut sungai, dia tidak ternampak apa-apa kecuali mendung di langit begitu kelam dan hitam pekat.

Bab 7 Berbudi Berbalas Nista

Bab 7  Berbudi Berbalas Nista

            Cerita bermula dengan Embong kehairanan melihat anaknya Dahlia yang tidak menjawab pertanyaan dan matanya merah dan sarat dengan esakan setelah balik dari rumah Aton menziarahi mayat Said yang dibawa pulang dari hospital. Sekarang giliran bapanya. Setelah meminta Lia menjaga Anggerik yang tidur Embong menyorong basikalnya lalu dikayuh.
            Said sekelas dengan Melati di Sekolah Kebangsaan Jelutong di kampung sebelah. Embong mengenang nasib Said yang masih kecil walaupun nakal tetapi mengapa mesti mati di depan rumahnya dalam keadaan begitu tragis? Dirinya berpisah dengan isteri tetapi masih ada harapan untuk gembira seperti dulu, tetapi Aton hanya mempunyai Said seorang anak. Rumah Aton terletak 150m sahaja dari rumahnya. Di halaman rumah sudah dibanjiri orang kampung, yang perempuan berpakaian puthi manakala lelaki pula memakai baju biasa dengan bersongkok. Ada Melayu, apabila bertemu perlu bersalaman. Adat Melayu juga, kesedihan seperti ini, ramai yang membisu. Mahu bercakap pun jika ada perkara yang perlu sahaja. Embong naik ke rumah melihat jenazah Said. Orang begitu ramai, jika ditunda takut jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan. Jadi, Embong masuk ke rumah papan tanpa cat, beratap rumbia, Embong terdengar namanya disebut, hatinya menjadi resah, dia masuk ke ruang dalam dan menanyakan Aton sebabnya. Aton memandang Embong dengan matanya seakan-akan mahu terjojol keluar lalu menjerit bahawa anak Embong yang telah membunuh anaknya Said. Kaum keluarga Aton memujuknya agar bersabar. Aton meronta hendak membunuh Embong katanya, ada seorang lelaki menepuk bahu Embong menyuruh Embong turun ke bawah rumah. Pada hemat Embong, lelaki itu abang Aton. Embong menyedari kedatangannya tidak disenangi lalu bergerak turun. Embong masuk dalam kelompok orang ramai di halaman di bawah pokok-pokok getah. Embong tercegat di situ walaupun dia tidak sedap hatinya. Embong amat menyesal dirinya dituduh merancang kematian Said.
            Embong memasang telinga ketika orang ramai bersembang tentang kematian Said. Mereka mempersoalkan sebab Said mandi di depan rumah Embong dan Embong tidak berbuat apa-apa. Ada yang kata pada masa itu Embong tiada di rumah, ada pula mengatakan ada, ada pula yang mengatakan Lia yang menyelamatkan Said, ada yang menuduh Lia lambat menyelamatkan Said, tercegat lama di tebing baru hendak menyelamatkan Said seperti merancang kematian Said. Embong mahu menutup telinga setelah mendengar kata-kata yang melampau itu.
            Sejak isterinya tidak betul, Embong turut ikut sama, terdengar gelak tawa. Ada suara menyatakan Embong memang  orang yang lemah, apa yang dikatakan orang diterimanya, suara itu memintanya berkeras sedikit, barulah orang tahu siapa dirinya. Kalau tidak, orang-orang itu akan semakin berani. Embong menahan getar, dia tidak mahu kemunculannya disedari, oleh sebab tidak mahu menimbulkan pergaduhan, dia segera meninggalkan tempat itu.
            Dalam perjalanan pulang, dia bertembung dengan Tauke Lim yang bermotosikal Honda Cub 70cc menuju ke arahnya. Tauke Lim memberitahu bahawa rumah Embong tiada orang. Embong memberitahu bahawa Dahlia ada di rumah, Tauke Lim memberitahu tiada orang yang menjawab ketika dia memanggil. Tauke Lim juga memberitahu bahawa dia mendengar khabar Dahlia yang menyelamatkan Said tetapi sudah nasib Said mahu mati. Tauke Lim memuji Lia seorang yang berani kerana arus sungai deras. Tauke Lim menerangkannya dengan bahasa Melayu yang petah kemudian mereka berpisah.
            Embong berfikir dalam hati, Dahlia tidak mendengar panggilan Tauke Lim mungkin disebabkan dia masih menangis, kemungkinan Aton dan orang ramai mengata yang bukan-bukan terhadap anaknya. Embong berpendapat bahawa tentu hati Lia tersinggung kerana puas berkorban nyawa tiba-tiba dituduh menggadai nyawa orang lain. Ketika sampai di rumah, basikalnya disandarkan pada tiang, baru pukul 10.25 pagi, kebetulan Dahlia ada di rumah, Embong berasa elok dia memetik buah kelapa sawit, lalu menukar pakaian, meneguk air kopi pagi, lalu keluar semula. Embong memberitahu Dahlia bahawa dia akan memetik buah kelapa sawit di Parit Haji Kadir yang terletak 2km dari rumahnya. Mengikut rancangannya, sepagian dihabiskan di rumah Aton, tetapi keadaan mengubah perancangannya.  Sewaktu isterinya ada, dia akan menoreh di sekitar rumah, sebelah petang baru memetik buah kelapa sawit. Kini, musim hujan, yang boleh dibuat hanyalah bekerja di tempat orang. Kalau dia dapat memetik sepikul buah kelapa sawit, separuh kepunyaan tuannya dan sebahagiannya lagi kepunyaan pemetik dan upah lori yang mengangkut. Kerja ini dilakukakannya 2 minggu sekali, upahnya hampir RM 50 sekali petik tetapi dalam sebulan hanya 2 kali, tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga. Oleh sebab itu Embong mencari peluang bekerja di kebun-kebun lain.
            Ingatan embong bertumpu kepada Dahlia ketika mengayuh basikal di jalan tanah merah yang berair. Petang semalam, sekembalinya daripada memetik buah, anaknya sedang memasak dalam keadaan yang lemah.  Hendak ditanya tetapi Melati terlebih dahulu menceritakan Said sudah meninggal, Embong terjelepok di lantai rumah, kemudian memandang Lia yang sedang sibuk di dapur. Pada saat itu,  hatinya berkata-kata bahawa Lia sepatutnya menghabiskan masa dengan buku-buku pelajaran bukan kerja-kerja dapur. Embong menguatkan semangat untuk bekerja keras agar anaknya tidak kelaparan kerana orang hanya tahu bercakap, mencari kesalahan orang lain, hanya tahu menambah-nambah cerita daripada seinci menjadi sedepa.
            Basikalnya diletakkan di bawah pokok kelapa sawit, penyodok diletakkan di bahu. Luas kebun 2 ekar. Dengan kurangkan rehat, Embong berharap dia dapat siapkan kerja pada sebelah petang. Embong lebih suka mula bekerja dari sebelah belakang, kemudian ke depan. Tiba-tiba dia terhenti sendiri, degup jantungnya bergerak kencang, hidung terhidu sesuatu, cuping telingannya seakan-akan mendengar gemersik yang aneh. Dia menoleh ke kiri, ke kanan dan ke belakang, rupa-rupanya ular sawa. Ular sawa sebesar pahanya melingkari pokok kelapa sawit. Bukan kali pertama dia berdepan dengan ular sawa, sewaktu masih muda, selalu benar dia membunuh ular sawa tetapi tidak sebesar ini. Meskipun ular melilit saat itu tubuhnya masih kuat. 
            Embong membaca selawat ke atas Nabi meminta kekuatan, lalu melangkah ke kiri perlahan-lahan mencari buluh dengan memanjangkan leher. Yang ternampak hanya pelepah kelapa sawit. Jika buluh, mudah membunuh, pelepah, belum pasti memberi kesan. Embong bergerak ke kebun getah di sebelah, ada rumah di situ tetapi rumah itu sepi. Ada sebatang buluh panjang dibuat ampaian, ingin meminta keizinan, tiada orang, dia mengambil buluh kering itu menuju ke tempat ular itu melingkar. Sampai ke tempat yang dituju, ular itu sudah tiada. Tanpa diduga, ular itu sudah bergantung pada pokok lain, menjuntaikan kepala ke arahnya. Dia terjatuh, ular itu terus menjatuhkan tubuh lalu menuju ke arah Embong, Embong panik.