11 January 2016

Bab 9: Apabila Tamak Menguasai Jiwa

Bab 9: Apabila Tamak Menguasai Jiwa
           
            Cerita bermula dengan Najib memerhatikan persekitaran rumah Dahlia dan membandingkan keadaan rumahnya dengan rumah Dahlia. Kini, barulah dia tahu sebab keinginannya untuk mengunjungi rumah Dahlia pada setiap Aidilfitri ditolak. Najib mengenang peristiwa dia ingin melawat rumah Dahlia tetapi ditolak dengan pelbagai alasan seperti rumahnya jauh, kalau Najib datang, belum tentu dia berada di rumah. Jawapan yang diberikan oleh Lia menimbulkan persoalan dalam diri Najib adakah Lia itu seorang yang sombong atau dia seorang yang hina di mata Lia. Sekarang, barulah Najib faham.
            Dahlia mempelawa Najib dan Kavita minum lalu menanyakan sebab mereka berdua datang ke rumahnya. Kavita memberitahu bahawa Najib yang menelefonnya bertanya bukan hal pelajaran tetapi tentang Dahlia. Kavita memberitahu bahawa Dahlia tidak datang ke sekolah, oleh itu Najib mengajak Kavita ke rumah Dahlia dengan berkereta, Kavita bersetuju. Najib pula bertanya tentang ibu Dahlia. Dahlia tidak menjawab lalu bergerak ke jendela, di situ dia melihat sebuah kereta Fiat berwarna kuning menuju ke rumah neneknya, itu kereta Pak cik Seman (abang emaknya). Kavita menghampiri Dahlia, dia memandang wajah Anggerik yang redup. Kavita menyentuh dahi Anggerik sambil memandang wajah Dahlia, dirasa perut Anggerik lalu mempersoalkan Dahlia yang tidak menghantar Anggerik ke hospital. Sebenarnya Dahlia bercadang membawa Anggerik ke klinik pada petang itu. Dengan kedatangan Najib dan Kavita, hajat tidak dapat dilaksanakan. Najib juga menghampiri mereka kerana tidak mahu dianggap kera sumbang dan menanyakan apa yang berlaku kepada Kavita. Kavita memberitahu bahawa Anggerik demam. Najib menyentuh dahi Anggerik dan mencadangkan mereka membawa Anggerik ke klinik. Dahlia tidak mahu menyusahkan sesiapa tetapi peluang tidak selalu datang kerana Najib berkereta.
            Cerita beralih ke rumah Nek Kiah, Seman berasa malu dengan peristiwa adiknya Saleha dibawa ke Johor Bahru. Nek Kiah berasa malu lagi kerana keturunannya tiada yang gila, dirasakan mukanya bagaikan tersiram najis. Pada pendapat Nek Kiah, nasib malang menimpa anaknya kerana berkahwin dengan Embong, anak perantau. Seman mengatur kata-kata supaya hajatnya tercapai pada kali ini. Seman menyatakan Embong tentu ada belajar ilmu tertentu kerana adiknya Saleha pada masa dulu, ramai yang berminat terhadapnya termasuk Haji Sulaiman, tetapi Saleha tidak mahu, Saleha mahukan Embong yang tidak tahu asal-usulnya. Hal ini telah membuatkan dahi Nek Kiah berkerut. Nek Kiah menanyakan Seman adakah Embong itu membela hantu. Seman menyatakan bahawa dia hanya mengagak, kerana dari dulu hingga sekarang, keluarga Leha tetap tidak berubah. Nek Kiah ke dapur dan mengajak anaknya makan malan di rumahnya. Nek Kiah mengubah tajuk perbualan. Persoalan yang ditimbulkan oleh Seman itu sudah lama bersarang di kepalanya. Nek Kiah mengeluarkan 3 ulas bawang merah, meminta Seman tidak perlu bercakap panjang lebar hal tersebut, hatinya tetap sakit. Seman duduk di sisi ibunya dan mengatakan bahawa itu sebabnya dari dulu lagi dia mencadangkan tanah tempat Saleha tinggal itu dijual. Cerita itu dibangkitkan ketika Saleha masih sihat tetapi Saleha tetap berdegil tidak mahu jual. Sekarang anaknya tiada, bertambah sukar untuk Nek Kiah meluahkan hajat. Seman mengatakan lebih senang lagi jika Saleha tidak ada. Nek Kiah terfikir jika tanah itu dijual, di manakah keluarga anaknya hendak tinggal? Seman mencadangkan Embong diminta berpindah ke tanah dalam yang tumbuh dengan lalang.  Nek Kiah terus berfikir. Seman menyatakan bahawa tanah ibunya bersambung dengan tanah Saleha seluas 5 ekar, kalau dijual satu ekar, banyak wang yang akan diperolehnya. Berkenaan dengan pembeli, Seman memberitahu ibunya tidak perlu risau kerana di depan kampung ada kilang dan politeknik, pada bila-bila masa ada orang yang hendak beli untuk dijadikan rumah sewa. Seman menanyakan pandangan ibunya, dia akan menguruskan segalanya jika ibunya bersetuju. Nek Kiah terbayang longgokan wang ringgit, seumur hidupnya dia tidak pernah memegang duit sebanyak itu (RM15,000), sewaktu masih hidup, dia mahu berasa senang, boleh makan apa-apa sahaja. Seman memberitahu bahawa jika Embong tidak bersetuju pun, Embong tidak dapat berbuat apa-apa.
            Tiba-tiba seekor kucing melintas mengejar tikus menyebabkan Nek Kiah terkejut. Seman memberitahu jika dapat duit, ibunya boleh membesarkan rumahnya, rumah separuh batu, susah untuk tikus bersembunyi nanti. Nek Kiah bertanya kepada anaknya, Seman sama ada akan makan malan di situ, Seman mengatakan bahawa dia perlu balik kerana isterinya akan berleter memanjang. Seman masih tidak berpuas hati lalu menanyakan ibunya tentang cadangannya. Pada masa itu, bara kebencian kian menyerkap ruang dada Nek Kiah. Dia mengangguk. Seman tersenyum, Embong tunggulah nasib engkau.

No comments:

Post a Comment