11 January 2016

Bab 7 Berbudi Berbalas Nista

Bab 7  Berbudi Berbalas Nista

            Cerita bermula dengan Embong kehairanan melihat anaknya Dahlia yang tidak menjawab pertanyaan dan matanya merah dan sarat dengan esakan setelah balik dari rumah Aton menziarahi mayat Said yang dibawa pulang dari hospital. Sekarang giliran bapanya. Setelah meminta Lia menjaga Anggerik yang tidur Embong menyorong basikalnya lalu dikayuh.
            Said sekelas dengan Melati di Sekolah Kebangsaan Jelutong di kampung sebelah. Embong mengenang nasib Said yang masih kecil walaupun nakal tetapi mengapa mesti mati di depan rumahnya dalam keadaan begitu tragis? Dirinya berpisah dengan isteri tetapi masih ada harapan untuk gembira seperti dulu, tetapi Aton hanya mempunyai Said seorang anak. Rumah Aton terletak 150m sahaja dari rumahnya. Di halaman rumah sudah dibanjiri orang kampung, yang perempuan berpakaian puthi manakala lelaki pula memakai baju biasa dengan bersongkok. Ada Melayu, apabila bertemu perlu bersalaman. Adat Melayu juga, kesedihan seperti ini, ramai yang membisu. Mahu bercakap pun jika ada perkara yang perlu sahaja. Embong naik ke rumah melihat jenazah Said. Orang begitu ramai, jika ditunda takut jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan. Jadi, Embong masuk ke rumah papan tanpa cat, beratap rumbia, Embong terdengar namanya disebut, hatinya menjadi resah, dia masuk ke ruang dalam dan menanyakan Aton sebabnya. Aton memandang Embong dengan matanya seakan-akan mahu terjojol keluar lalu menjerit bahawa anak Embong yang telah membunuh anaknya Said. Kaum keluarga Aton memujuknya agar bersabar. Aton meronta hendak membunuh Embong katanya, ada seorang lelaki menepuk bahu Embong menyuruh Embong turun ke bawah rumah. Pada hemat Embong, lelaki itu abang Aton. Embong menyedari kedatangannya tidak disenangi lalu bergerak turun. Embong masuk dalam kelompok orang ramai di halaman di bawah pokok-pokok getah. Embong tercegat di situ walaupun dia tidak sedap hatinya. Embong amat menyesal dirinya dituduh merancang kematian Said.
            Embong memasang telinga ketika orang ramai bersembang tentang kematian Said. Mereka mempersoalkan sebab Said mandi di depan rumah Embong dan Embong tidak berbuat apa-apa. Ada yang kata pada masa itu Embong tiada di rumah, ada pula mengatakan ada, ada pula yang mengatakan Lia yang menyelamatkan Said, ada yang menuduh Lia lambat menyelamatkan Said, tercegat lama di tebing baru hendak menyelamatkan Said seperti merancang kematian Said. Embong mahu menutup telinga setelah mendengar kata-kata yang melampau itu.
            Sejak isterinya tidak betul, Embong turut ikut sama, terdengar gelak tawa. Ada suara menyatakan Embong memang  orang yang lemah, apa yang dikatakan orang diterimanya, suara itu memintanya berkeras sedikit, barulah orang tahu siapa dirinya. Kalau tidak, orang-orang itu akan semakin berani. Embong menahan getar, dia tidak mahu kemunculannya disedari, oleh sebab tidak mahu menimbulkan pergaduhan, dia segera meninggalkan tempat itu.
            Dalam perjalanan pulang, dia bertembung dengan Tauke Lim yang bermotosikal Honda Cub 70cc menuju ke arahnya. Tauke Lim memberitahu bahawa rumah Embong tiada orang. Embong memberitahu bahawa Dahlia ada di rumah, Tauke Lim memberitahu tiada orang yang menjawab ketika dia memanggil. Tauke Lim juga memberitahu bahawa dia mendengar khabar Dahlia yang menyelamatkan Said tetapi sudah nasib Said mahu mati. Tauke Lim memuji Lia seorang yang berani kerana arus sungai deras. Tauke Lim menerangkannya dengan bahasa Melayu yang petah kemudian mereka berpisah.
            Embong berfikir dalam hati, Dahlia tidak mendengar panggilan Tauke Lim mungkin disebabkan dia masih menangis, kemungkinan Aton dan orang ramai mengata yang bukan-bukan terhadap anaknya. Embong berpendapat bahawa tentu hati Lia tersinggung kerana puas berkorban nyawa tiba-tiba dituduh menggadai nyawa orang lain. Ketika sampai di rumah, basikalnya disandarkan pada tiang, baru pukul 10.25 pagi, kebetulan Dahlia ada di rumah, Embong berasa elok dia memetik buah kelapa sawit, lalu menukar pakaian, meneguk air kopi pagi, lalu keluar semula. Embong memberitahu Dahlia bahawa dia akan memetik buah kelapa sawit di Parit Haji Kadir yang terletak 2km dari rumahnya. Mengikut rancangannya, sepagian dihabiskan di rumah Aton, tetapi keadaan mengubah perancangannya.  Sewaktu isterinya ada, dia akan menoreh di sekitar rumah, sebelah petang baru memetik buah kelapa sawit. Kini, musim hujan, yang boleh dibuat hanyalah bekerja di tempat orang. Kalau dia dapat memetik sepikul buah kelapa sawit, separuh kepunyaan tuannya dan sebahagiannya lagi kepunyaan pemetik dan upah lori yang mengangkut. Kerja ini dilakukakannya 2 minggu sekali, upahnya hampir RM 50 sekali petik tetapi dalam sebulan hanya 2 kali, tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga. Oleh sebab itu Embong mencari peluang bekerja di kebun-kebun lain.
            Ingatan embong bertumpu kepada Dahlia ketika mengayuh basikal di jalan tanah merah yang berair. Petang semalam, sekembalinya daripada memetik buah, anaknya sedang memasak dalam keadaan yang lemah.  Hendak ditanya tetapi Melati terlebih dahulu menceritakan Said sudah meninggal, Embong terjelepok di lantai rumah, kemudian memandang Lia yang sedang sibuk di dapur. Pada saat itu,  hatinya berkata-kata bahawa Lia sepatutnya menghabiskan masa dengan buku-buku pelajaran bukan kerja-kerja dapur. Embong menguatkan semangat untuk bekerja keras agar anaknya tidak kelaparan kerana orang hanya tahu bercakap, mencari kesalahan orang lain, hanya tahu menambah-nambah cerita daripada seinci menjadi sedepa.
            Basikalnya diletakkan di bawah pokok kelapa sawit, penyodok diletakkan di bahu. Luas kebun 2 ekar. Dengan kurangkan rehat, Embong berharap dia dapat siapkan kerja pada sebelah petang. Embong lebih suka mula bekerja dari sebelah belakang, kemudian ke depan. Tiba-tiba dia terhenti sendiri, degup jantungnya bergerak kencang, hidung terhidu sesuatu, cuping telingannya seakan-akan mendengar gemersik yang aneh. Dia menoleh ke kiri, ke kanan dan ke belakang, rupa-rupanya ular sawa. Ular sawa sebesar pahanya melingkari pokok kelapa sawit. Bukan kali pertama dia berdepan dengan ular sawa, sewaktu masih muda, selalu benar dia membunuh ular sawa tetapi tidak sebesar ini. Meskipun ular melilit saat itu tubuhnya masih kuat. 
            Embong membaca selawat ke atas Nabi meminta kekuatan, lalu melangkah ke kiri perlahan-lahan mencari buluh dengan memanjangkan leher. Yang ternampak hanya pelepah kelapa sawit. Jika buluh, mudah membunuh, pelepah, belum pasti memberi kesan. Embong bergerak ke kebun getah di sebelah, ada rumah di situ tetapi rumah itu sepi. Ada sebatang buluh panjang dibuat ampaian, ingin meminta keizinan, tiada orang, dia mengambil buluh kering itu menuju ke tempat ular itu melingkar. Sampai ke tempat yang dituju, ular itu sudah tiada. Tanpa diduga, ular itu sudah bergantung pada pokok lain, menjuntaikan kepala ke arahnya. Dia terjatuh, ular itu terus menjatuhkan tubuh lalu menuju ke arah Embong, Embong panik.

2 comments: