Bab 25: Inilah Kampungku!
Cerita bermula dengan Dahlia menelaah pelajaran dalam suasana jerit-pekik, tangisan dan hidup bersesak-sesak. Kadang-kadang dia terfikir untuk kembali ke asrama, mahu hidup seperti dulu, ada jadual belajar, kokurikulum, dan beristirahat. Mengenangkan adik-adik, emak, dan Nek Kiah, perasaan itu hilang. Di mana-mana pun boleh belajar, malah dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa. Nota-nota pelajarannya dapat diselamatkan, dalam keadaan sesak, dia berusaha untuk belajar, kalau orang mengatakannya menunjuk-nunjuk, Lia tidak kisah kerana hidup tidak ditentukan oleh orang yang mengata. Embong memberitahu rumah mereka roboh, air setinggi 2 meter. Ahli Parlimen Sri Gading ada menjenguk sesekali untuk menerima aduan mangsa. Pada waktu lain, wakil peribadinya datang bertanyakan khabar, salah seorang ialah En. Daim, bekas gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail, yang kini memegang jawatan Setiausaha Bahagian Sri Gading. Encik Daim mengatakan bahawa Dahlia boleh dijadikan contoh kerana dalam keadaan seperti itu masih bersemangat untuk belajar. Ketika mendengar kata-kata itu, Dahlia cepat-cepat menyimpan nota yang dibacanya. Encik Daim mengatakan bahawa Dahlia seorang anak yang baik, ramai yang membangkitkan masalah kewangan menjadi faktor kegagalan pelajaran, Dahlia ialah contoh salah seorang yang menolak anggapan itu.
Sudah hari ke-4 mereka berada di situ, hujan tidak turun lagi, langitu sudah pun cerah . Nek Kiah memberitahu bahawa selepas itu, dia mahu tinggal di rumahnya. Alangkah gembiranya Dahlia melihat perubahan pada neneknya itu, malah nenek tidak pernah membangkitkan soal tanah yang sekangkang kera itu. Walaupun tidak lagi dibenarkan pulang, sudah ramai penduduk yang pulang sendiri. Haji Sulaiman tidak dapat berbuat apa-apa. Encik Daim memberitahu bahawa tebing Sungai Semberong yang pecah sudah dibaiki, jambatan yang dihanyutkan akan diganti dengan jambatan yang lebih kukuh dan besar. Untuk sementara waktu, jambatan kayu dibina.
Hari itu, selepas makan tengah hari, Hj Sulaiman meminta orang-orang kampung masuk ke perut balai raya. Sebelum pulang, Hj Sulaiman ingin menyampaikan sesuatu yang penting. Haji Sulaiman memulakan kata-katanya dengan meminta maaf jika kata-kata yang akan disampaikannya menyentuh perasaan penduduk dan menyebabkan dirinya tidak disukai, dia terima. Haji Sulaiman berkata dia dilahirkan dan dibesarkan di situ sejak 62 tahun lalu. Dalam tempoh itu, dia dapat melihat perubahan yang berlaku dalam kalangan mereka. Perubahan yang baik, patut mereka terima tetapi perubahan yang tidak baik, patut dibuang oleh mereka. Sebagai ketua, Hj Sulaiman terkilan dengan sikap dalam kalangan mereka yang mementingkan diri, orang Melayu jika tidak ada sifat tolong-menolong, bermurah hati, berbudi bahasa, saling menghormati, dan patuh kepada agama, pada pandangannya bukan orang Melayu namanya. Haji Sulaiman berkata bahawa majlis kenduri-kendara sudah tidak semeriah dulu, surau pula lengang, masing-masing kata sibuk, tetapi sibuk sekalipun, mereka harus sedar, mereka hidup bermasyarakat. Suasana sepi, masing-masing menunduk. Dahlia terharu dengan kata-kata Haji Sulaiman yang selama ini hanya berdiam. Sambung Haji Sulaiman lagi bahawa hidup mereka kini lebih baik berbanding zaman muda-muda dulu, ada yang memilik tanah berekar-ekar, rumah sewa berderet, dan anak-anak menjadi pegawai besar tetapi apa gunanya jiak mereka tidak mengendahkan jiran tetangga mereka. Haji Sulaiman memberitahu bahawa kata-katanya tadi bukan kata-katanya tetapi daripada Allah menerusi surah al-Isra’ ayat 26 dan 27.
Haji Sulaiman memberitahu bahawa kerajaan sudah memberikan kemudahan kepada mereka, bekalan air, elektrik, telefon dan tidak lama lagi akan dibina jalan bertar, tetapi sikap mereka tidak akan membawa kemajuan, jika tidak rela saling membantu. Haji Sulaiman meminta maaf sekiranya kata-katanya tidak disenangi, dia tidak berasa kesal jika penduduk kampung tidak memilihnya sebagai ketua mereka kerana dia sudah menyampaikan perkara yang ingin disampaikannya selama ini. Mungkin kesan daripada kata-kata Hj Sulaiman, perubahan begitu ketara dalam kalangan penduduk, rumah Dahlia yang rebah, telah didirikan semula oleh orang-orang kampung secara bergotong-royong. Menurut Hj Sulaiman kayu-kayu baharu sumbangan daripada parti. Haji Sulaiman cukup gembira melihat penduduk kampung, ada yang membancuh simen, ada yang menimbus tanah, mengetam, membuat parit kecil, dan membancuh simen tanpa disuruh. Tauke Lim juga begitu seronok, Dahlia begitu terharu dengan sikap masyarakat kampungnya. Tauke Lim berkata kepada Dahlia yang menghidangkan makan tengah hari bahawa dia boleh naik pelamin kerana sudah ada rumah baharu. Emaknya di belakang tersenyum sahaja. Masing-masing ketawa apabila salah seorang penduduk kampung bertanya tentang anak Embong, Tauke Lim bertanya balik kepada orang itu, sama ada orang itu menyimpan niat menginginkan anak Embong, orang itu memberitahu angan-angannya hendak kahwin dua, melepas.
No comments:
Post a Comment