Bab 18: Budi Tanpa Mengira Warna Kulit
Cerita bermula dengan Dahlia membawa Anggerik ke hospital untuk berjumpa dengan bapanya. Dalam perjalanan, Dahlia memikirkan nasib keluarganya yang dipaksa berpindah. Dahlia melihat keadaan kampungnya, tempat dia dilahirkan dan menyimpan hajat untuk mengubah keadaan kampungnya, tetapi jika dia meninggalkan sekolah, adakah impiannya akan tercapai? Dahlia memikirkan penyakit emaknya yang tidak diketahui bila akan sembuh, bapanya yang belum dapat keluar dari hospital, kalau keluar daripada hospital pun tidak dapat terus bekerja, siapa yang akan membiayai makan minum serta perbelanjaan harian? Malahan bagaimana hendak menyediakan wang sebanyak RM 15,000 yang diinginkan oleh neneknya.
Dahlia tidak sampai melihat adiknya yang jalan terkial-kial lalu didukungnya. Dahlia tidak tahu sama ada hendak berhenti atau bersekolah. Dahlia mahu bersekolah, mahu meraih kejayaan, mahu membuktikan anak kampung juga boleh berjaya ke menara gading. Sebagai anak sulung, wajar dia menjadi contoh, jika dia tidak memulakannya, siapa lagi? Dahlia juga memikirkan jika berhenti sekolah, tidak bolehkah dia belajar? Apa yang penting keinginan, jika semangat kuat dengan keadaan serba kekurangan pun boleh meraih kejayaan. Dahlia mengeluh, dia amat sayang akan alam persekolahan. Kalau dia berhenti, kemudian bekerja dan belajar sendiri tentu akan memeranjatkan kawan-kawannya.
Di pondok bas, Dahlia duduk di kerusi panjang mengharapkan bas cepat sampai, boleh cepat menemui bapanya dan meredakan kerinduan adiknya. Dahlia memerlukan wang, wang perlu untuk hidup, di manakah dia boleh mendapatkan longgokan wang jika tidak berusaha dari sekarang? Bangunan kilang di depan matanya seakan-akan menunggu kedatangannya. Politeknik Batu Pahat tetap di situ. Dahlia dapat merasakan pembangunan semakin pesat, tetapi nasibnya terus begitu.
Kereta bertali arus di jalan raya, satu suara bertanya kepada Dahlia apa yang dilakukannya. Dahlia menoleh, Tauke Lim bertanya sama ada Dahlia pergi melawat bapanya, Dahlia mengangguk. Tauke Lim yang kedai runcitnya di depan, melangkah ke pondok dan menyatakan Nek Kiah ada datang ke rumah Dahlia. Dahlia terdiam, itu hal keluarga,mengapa orang lain perlu tahu. Persoalan timbul dalam fikiran Dahlia bagaimana Tauke Lim tahu tentang hal itu padahal semasa kedatangan neneknya semalam, tiada sesiapa yang tahu. Tauke Lim menanyakan Dahlia tempat yang akan didiaminya nanti dan mengatakan bahawa berpindah-randah bukan perkara baik, Tauke Lim menerangkan bahawa dia suka berpindah tetapi berpindah untuk mencari peluang perniagaan. Dahlia tidak faham maksud Tauke Lim. Tauke Lim memberitahu bahawa bukankah Dahlia sudah bersetuju untuk menjual tanah? Dahlia memberitahu Tauke Lim perkara itu karut. Pada masa itu bas menuju ke Bandar Penggaran tiba, disebabkan asyik bersembang, Dahlia pula untuk menahan bas itu. Tauke Lim menerangkan bahawa bapa Dahlia kawan baiknya seperti adik-beradik, kalau Dahlia menghadapi masalah tidak perlu berahsia, hidup mereka perlu bagai aur dengan tebing. Tauke Lim memberitahu bahawa bapa Dahlia ke kampung ini bersama-sama Tauke Lim dari Melaka, dia berniaga, Embong pula bekerja di estet. Estet itu sudah didirikan kilang. Tauke Lim dan Embong bagai saudara, susah senang tanggung bersama, jadi Dahlia tidak perlu berahsia dengannya. Dahlia bersetuju dengan kata-kata Tauke Lim yang fasih berbahasa Melayu. Dahlia berpendapat orang memang suka mendengar cerita, mengetawakan lebih banyak, tetapi yang sudah menolong, tiada. Ada suara memberitahunya mungkin ada orang yang sudi menolong seperti Tauke Lim. Dahlia memberitahu bahawa Tauke Lim tidak tahu nasib keluarganya. Tauke Lim pula mengatakan bahawa silapnya Dahlia bersetuju untuk berpindah.Dahlia menafikannya, lalu mengatakan Nek Kiah mendesak, tetapi dia diam sahaja. Tauke Lim berkata rupa-rupanya Seman yang membuat hal dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis. Tauke Lim memberitahu Dahlia bahawa Seman datang berjumpa dengan semalam. Tauke Lim memberitahu Dahlia bahawa Seman ingin menjual tanah, Tauke Lim berasa hairan kerana keluarga Dahlia tinggal di situ, Seman memberitahu bahawa Lia sanggup berpindah. Seman ingin jual tanah itu dengan harga yang cukup murah iaitu RM 10,000. Dahlia berasa hairan kerana neneknya memberitahu dia hendak menjual tanah itu dengan harga RM 15,000. Tauke Lim berasa hairan dan pelik kerana Seman sekeluarga dengan Dahlia tetapi bermusuhan. Sepatutnya adik-beradik yang membantu, Seman pula tidak membuat malah mengambil kesempatan. Tauke Lim mengeluh orang seperti Seman itu wujud dan memberitahu bahawa Seman banyak berhutang. Tauke Lim memberitahu bahawa dia tidak tahu melihat orang dianiaya, Nek Kiah bukan tidak cukup duit, semasa membeli barang di kedai Tauke Lim, Nek Kiah membayar dengan duit RM 100, pasti telah dihasut oleh Seman.
Tauke Lim menanyakan Dahlia apa yang akan dilakukannya sekarang. Lia memberitahu bahawa dia tidak tahu tetapi berfikir dengan bekerja di kilang untuk mencari duit. Tauke Lim mempersoalkan duit yang akan diperoleh Dahlia dengan bekerja di kilang, bagaimana pula dengan persekolahannya? Dahlia sepi lalu menyatakan bahawa dia mahu banyak meminta daripada orang lain, tidak mahu menyusahkan sesiapa. Tauke Lim menyuruh tidak perlu fikir tentang duit yang diminta oleh neneknya, dia akan berbincang dengan Embong, dia akan cuba menolong, tetapi Dahlia perlu menolongnya. Dahlia tersentak, budi yang ditabur masakan meminta balasan. Dia berharap Tauke Lim jangan meminta lebih daripada sepatutnya. Tauke Lim mengatakan bahawa anaknya Ann, akan mengambil peperiksaan, tetapi karangan bahasa Melayunya tidak begitu baik masih ada gaya orang Cina bercakap, Tauke Lim mahu karangan anaknya ada peribahasa, mutiara kata, atau kata-kata hikmat, barulah karangan itu sedap dibaca. Dahlia tersenyum. Tauke Lim menyambung pula bahawa dia yang tidak bersekolah tinggi boleh menulis lebih baik daripada anaknya. Pada pendapat Tauke Lim mungkin di sekolah Ann bercampur dengan orang Cina sahaja, tidak mahu bercampur dengan kaum lain dan ingin tahu sama ada Dahlia bersetuju untuk mengajar Ann.Dahlia memberitahu tidak menjadi masalah, dia akan berbincang dengan Ann. Tauke Lim mengangguk kegirangan. Baginya duit boleh dicari tetapi peluang untuk anaknya merebut kecemerlangan dalam peperiksaan tidak mudah diperoleh. Orang Cina yang sudah menjadi rakyat Malaysia, patut mendapat A dalam Bahasa Melayu, bukan sekadar cukup makan, itu cara Tauke Lim berfikir.
Sebuah motosikal masuk ke kampung. Penunggangnya membawa motosikal dengan gaya menunduk, dia memulas tali minyak kerana mahu motosikal bergerak selaju mungkin. Debu berterbangan. Tauke Lim bertanya kepada Dahlia penunggangnya Bakar? Dahlia mengagguk. Kata Tauke Lim, Bakar contoh anak tak guna, dia malu hendak tengok muka Bakar. Walaupun keluarganya susah, dia buat bodoh sahaja. Belajar sekerat jalan, tidak mahu bekerja. Dahlia memberitahu Tauke Lim bahawa dia sudah puas menasihati adiknya. Tauke Lim memberitahu Dahlia bahawa dia juga sudah puas menasihati Bakar, kalau Bakar mahu mencari duit, tolong jaga kedai Tauke Lim, nanti dia membayar gaji. Sebuah kereta Honda Civic tiba-tiba berhenti, seorang penumpang menoleh ke arah Dahlia, Cikgu Hisyam yang datang.
No comments:
Post a Comment