Bab 28: Koi-bito (kekasih)- lovers
Cerita bermula dengan Nek Kiah menyusun sirih di atas cembul. Dahlia bertanya kepada Nek Kiah tentang adat pertunangan, cara menyusun tepak sirih, isi yang perlu ada seperti gambir, kapur, tembakau, cengkih, sirih dan kacip. Nek Kiah memberitahu bahawa kalau beradat, biar betul-betul, semasa majlis perkahwinan anak Iman Deraman, bukan sahaja cara meletak salah malah isi tepak sirih tidak lengkap. Nek Kiah mahu buat betul-betul untuk cucunya. Perkataan ‘cucu’ yang diujarkan oleh Nek Kiah membuat Lia terharu, Tuhan telah kembalikan neneknya, jika dulu hendak ke rumah nenek sangat susah, tetapi sekarang sehari, sampai 2 kali nenek datang ke rumah , malah kadang-kadang tidur di rumahnya. Dahlia berasa amat bahagia. Nek Kiah juga menerangkan makna setiap benda yang diletakkan dalam tepak sirih kepada Lia. Lia gelak ketawa bersama neneknya. Aminah (adik emaknya) dari Melaka menegur Lia yang ketawa dengan membuka lebar mulutnya. Kata Aminah, nanti bakal suami Lia lari.
Lia berasa sedih kerana pada petang itu dia akan ke Kuala Lumpur dan esok memulakan hidup baharu selama 6 bulan sebagai warga kota. Sudah sejam Lia bersiap, sekadar bersolek dan bertudung serta baju kurung merah jambu daripada kain satin, bukan susah untuk bersiap tidak perlu bantuan orang lain. Nek Kiah memberitahu bahawa tetamu sudah ramai tetapi Azhari masih tidak sampai lagi.Nek Kiah menutup pintu bilik, menyeluk kocek bajunya, dikeluarkan gumpalan kain. Nek Kiah berkata Lia akan pergi jauh, dia tidak ada apa-apa untuk diberikan kepada Lia, Lia bersyukur kerana Nek Kiah sudi datang ke majlisnya, itu sudah cukup. Nek Kiah memberikan Lia gelang pusaka, disuruh simpan sebagai bekal jika berlaku kesempitan wang. Lia menggeleng, Nek Kiah memberitahu gelang itu sudah dipakainya sekian lama, harganya mungkin lebih RM 2000.00. Nek Kiah menyuruhnya mengambil gelang itu dan jangan memberitahu sesiapa tentangnya. Nek Kiah mengatakan bahawa Lia satu-satu cucunya yang sebenar-benarnya. Lia terharu mendengar kata neneknya. Memikirkan tidak mahu mengecilkan hati neneknya, Lia mengambil gelang itu. Nek Kiah tersenyum lalu keluar.
Lia terkenang pula peristiwa membeli cincin dengan Az. Cincin yang hendak dibeli oleh Az terlalu mahal, Lia meminta Az membeli cincin yang harganya seratus dua, Az memberitahu bahwa tidak salah kalau membeli cincin berharga seribu lebih kerana duit sudah disediakan, jika kahwin, dia akan belikan Lia rantai. Lia takut dikatakan orang , jika ada duit, lebih baik melabur di ASB. Az mengakui kata-kata Lia itu betul, calon isterinya tahu berjimat, tetapi cincin mahal ini akan dibeli juga kerana merupakan hajat emaknya.
Mawar menolak pintu dan memberitahu Lia kawannya datang. Lia teringat akan Kavita dan Siti Wangi yang dikhabarkannya melaui kad. Kavita memberitahu bahawa dia datang bersama cikgu Hisyam dan mengucapkan tahniah kepada Lia kerana terpilih ke Jepun, malah cikgu Hisyam pun sudah tahu hal itu. Mereka gelak ketawa, Nek Kiah mengetuk dinding meminta anak dara di dalam bilik senyap kerana tetamu sudah ramai, tetapi rombongan yang ditunggu masih tidak sampai. Bas Lia akan bertolak pada pukul 5pm, sekarang sudah pukul 3. 45pm. Az berjanji datang selepas Zuhur, paling lewat pukul 2pm. Asar sudah pun hampir tetapi yang ditunggu belum tiba juga. Cadangan diawalkan sehari hari pertunangan ditolak kerana kedua-dua pihak sudah memberitahu saudara mara. Kalau tidak sempat, Lia akan meninggalkan majlis, tanpanya majlis boleh dijalankan walaupun kurang manis. Upacara menyarungkan cincin hanyalah adat, tidak menjadi kesalahan jika dia tidak ada. Embong meminta Lia bersiap kerana risau Lia akan ketinggalan bas begitu juga Haji Sulaiman. Untunglah Lia sudah bersiap awal tidak terkial-kial lagi. Lia ke bawah, dia sedih kerana yang ditunggu tidak sampai. Lia bersalam dengan adik-adiknya dan ibu bapanya. Tauke Lim pula berpesan agar Lia rajin belajar, jangan lupa balik kampung setelah pandai. Cikgu Hisyam mengucapkan tahniah dan memberitahu Lia bahawa kebanggaan yang tidak akan dilupakannya. Embong mengingatkan Lia jangan lupa akan Tuhan, dan di mana-mana Lia berada, ingat bahawa dia orang Melayu. Lia meminta Bakar menjaga rumah. Setelah melambai, Dahlia dan Hj Sulaiman dihantar ke jalan kampung tempat keretanya diletakkan. Dahlia masuk ke kereta Haji Sulaiman, tanpa berbicara, kepiluan menghiris kalbunya. Haji Sulaiam menyerahkan satu sampul surat di dalamnya ada RM 500.00, sumbangan orang kampung, Tauke Lim sendiri memberi RM 300.00. Haji Sulaiman mengatakan bahawa pungutan derma memang dah lama diamalkan. Kereta bergerak lambat, tetapi Lia terasa begitu cepat. Dia mahu menunduk tetapi dia juga mahu tahu kalau-kalau berselisih dengan rombongan yang dinantinya.
Akhirnya, Lia sampai ke stesen bas Bandar Penggaram setelah bergerak 17km dari kampung halaman. 2 beg dijinjitnya untuk dibawa masuk ke bas yang sedang menanti. Dilihatnya jam, tepat masanya.
“Dahlia”, Lia mencari suara itu, “Dahlia”, Lia menoleh ke kiri, Azhari, lelaki itu segera keluar dari kereta dan bergegas menuju ke arah Lia. Haji Sulaiman hanya melihat. Lia bertanyakan sebab Az lambat, Az memberitahu bahawa pakcik yang menjadi jurucakap lambat sampai, Az minta ditinggalkan sahaja, tetapi mereka hendak menunggu. Lia bergerak menaiki bas apabila dipanggil oleh lelaki berbaju biru. Az membantu mengangkat sebuah beg ke bas Satria. Tiket diperiksa dan Dahlia melangkah masuk. Azhari mengingatkan Lia untuk menulis surat. Lia mengangguk, kesebakan tidak berbendung. Az luahkan “Koi-bito”, kemudian melangkah turun. Apakah maksud kalimat itu, bunyi seperti bahasa Jepun, Lia berasa semakin pilu menghadapi perpisahan. Dahlia melambai Azhari yang tercegat di kereta dan Haji Sulaiman. Bas terus bergerak, tiba-tiba Lia terlihat sekeping kad daripada Najib yang disampaikan oleh Kavita. Kad itu diselitkan di kocek beg. Diambil kad itu lalu dibacanya. Najib mengucapkan tahniah dan menumpang bahagia yang dikecapi Dahlia. Kad dimasukkan semula ke dalam kocek beg. Wajah Azhari pula terbayang, teringat hadiah daripada Az sempena keberangkatannya. Az membelikan Lia songket, hadiah kejayaan Lia terpilih mengikuti krusus. Apabila ditanya sebab Az membeli songket untuknya, Az memberitahu bahwa mereka tetap Melayu, selebihnya Lia fikirkan sendiri. Lia membuka zip beg lalu mengeluarkan songket merah berbenang emas. Ditenung benang emas yang halus, dipandang kampung halaman yang dilalui, terbayang wajah ibu bapanya, adik-adik. Lia mengucapkan terima kasih atas pengertiaan Azhari. Diri Lia seperti terapung, dia menahan sesuatu, kepiluan kian menggunung. Tidak semena-mena air matanya mengalir di pipi jatuh ke songket berbenang emas. Dahlia mengatakan bahawa dia tetap orang Melayu, tetap orang Malaysia.
No comments:
Post a Comment